On Road Dari Melaka ke Aonang, Krabi, Thailand.

AsSalam & hi semua,

Alhamdulillah, plan percutian keluarga (last minit) dengan memandu dari Melaka ke Krabi, Thailand berjaya akhirnya. Ini kali ke tiga kami ke Krabi, cuma kali ini kami memandu sendiri ke sana, dan bukan menaiki kapal terbang seperti sebelumnya. Kami nekad meneruskan perancangan kembara ini, memandangkan wife dah masuk 7 bulan, dan kami belum ke Krabi berempat (kali pertama berdua….kali kedua dh ada 1 anak).

 

Ok, terus ke kisah kembara kami. Kami hanya google map jarak dan laluan, then ada jugak bertanya di dalam Facebook group untuk tips. Terima kasih pada kenalan yang berkongsi tips dan panduan. Ini penting sebagai semangat dan untuk persediaan perjalanan kami.

 

Pada asal, kami rancang bertolak pada malam khamis, supaya awal pagi Jumaat dah ada di sempadan, namun atas faktor kesihatan, kami tunda (hampir dibatalkan) dan kami bertolak pada malam Jumaat sekitar jam 3.17am 20.5.2017 kami mulakan perjalanan dari Durian Tunggal, Melaka menuju Wang Kelian, Perlis.

 

Hari 1 – 20-5-2017 (Sabtu)

Hentian pertama kami di RNR Tapah,  untuk solat Subuh, pada jam 6.20am, 20.5.2017. Sehingga waktu ini, kami telah memandu sejauh +-298km. Perjalanan diteruskan dan hentian ke dua adalah di RNR Gurun , pada jam 10.43am, 20.5.2017 untuk sarapan dan mandi. Selesai, kami teruskan perjalanan dan semasa di Changlun kami berhenti untuk urusan pembelian insurance kenderaan memasuki Thailand. Kami akhirnya sampai ke Padang Besar pada jam 1.08pm dan baru teringat, kami belum tukar RM ke BHAT. Terdapat moneychanger di Padang Besar yang terletak belakang KFC Padang Besar, anda boleh ke sana. Selesai buat tukaran wang, segera kami menuju Wan Kelian untuk masuk ke Thailand. Pada jam 1.22pm, 20.5.2017 kami sudah di sempadan, setelah perjalanan sejauh 714km. Juga, pastikan anda isi minyak sepenuhnya di Padang Besar siap-siap kerana petrol d Malaysia masih murah berbanding di Thailand.

 

Ok, urusan di sempadan. Ada pelbagai tips jugak yang kami dapat, tapi apa yang kami buat:

  1. Pastikan dokumen lengkap (passport)
  2. Pastikan dokumen kenderaan lengkap (geran kenderaan)
  3. Borang-borang telah diisi semasa membeli insurance kenderan, biasanya mereka akan bantu lengkapkan dokumen.
  4. ‘Tips RM2/passport’ JANGAN sediakan or selit. Jangan jadikan amalan, hanya bagi bila diminta.

Ada pelbagai pintu masuk ke Thai ikut Utara Malaysia. Antaranya Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Wang Kelian. Macam2 la kami baca, pintu bukit kayu hitam dan Padang besar agak sesak la. Wang Kelian agak kurang orang. Tapi diingatkan, adalah penting anda mengetahui masa pintu-pintu ini dibuka dan ditutup.

Kami ikut perancangan awal iaitu mengikut Wang Kelian, padahal dah berada di Padang Besar. Sebabnya kami nak ke Satun untuk makan di sana. Kalau ikut dua pintu lagi, tak lalu Satun. Hal2 map, perjalanan ni, suami la yang expert. Saya pegang duit je. Perlu di ketahui, untuk memasuki Thai mengikut pintu Wang Kelian, anda perlu uruskan Insurans, penukaran duit kerana tiada apa di sana. Malahan perjalanan ke Wang Kelian agak berbukit. Petrol banyak susut di situ.

 

Sampai border Thai, pegawai Thailand tersebut minta RM8 untuk 4 passport. So, kami bagi lah RM8 setelah di minta. Selesai cop passport, owner kenderaan (suami) beserta geran dan passport perlu ke pejabat untuk urusan bawa masuk kenderaan. Di situ situasinya sama, pegawai akan ambil butiran dan serahkan dokumen berkaitan dan disini saya diminta RM10. Bayar, selesai. Sekali lagi, hanya berikan bila diminta. Urusan agak mudah dan cepat, mungkin kerana kami masuk melalui Wan Kelian yang tak begitu ramai orang.


Baik, kami sudah melintasi sempadan dan berada di Thailand. Seronok tengok penjual meniaga bermacam-macam barangan di Wang Kelian. Rasa nak singgah tapi nnt mau makan masa beberapa jam pula. Destinasi pertama adalah ke Nava Seafood Halal Food, Satun,Thai untuk makan tengahari (lapar dah nih).  Restoran ni berada di tepi pantai. Anak2 sangat seronok dapat bermain pasir. suasana tenang dan selesa dengan kemudahan wifi. Pekerja ada yang fasih berbahasa Melayu, jadi mudah untuk bertanya tentang menu yang ada. Anak-anak pun boleh bermain sementara menunggu makanan sampai. Kenyang, air sedap, makanan pun sedap. Yang penting, halal dan berbaloi.

 

Jalan di Thailand agak baik (rata,tak banyak tampal-tampal or beralun macam di Malaysia). Suasana perjalanan seperti di kawasan kampung-kampung. Agak lengang dengan tak banyak kenderaan. Cume perlu ingat, kita di negara orang, jadi memandu la secara berhemah.

Selesai makan dan minum serta berehat, kami terlebih dahulu GoogleMap jalan ke Ao nang, Krabi (wifi free, then set offline map) sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid banpakbara berhampiran restoran untuk solat asar + zuhur. mandi kn budak2 yang penuh dengan pasir.

 

 

Jam 4.21pm kami meneruskan perjalanan ke Krabi. Oh ya, di restoran tadi, kami sebenarnya baru booking hotel melalui Booking.com. Kiranya last minit booking. Tapi, jika anda ke sana pada bukan waktu puncak, boleh walk in sahaja, tak perlu buat tempahan secara online, lebih jimat (if booking online, website dah ambil % dia , so harga sedikit mahal banding walk-in). Walau macam manapun, hotel yg kami pilih tu agak luas, selesa dan murah.

 

Perjalanan lancar, dan kiri kanan kebanyakkannya hutan atau kawasan kampung. Hanya bila hampir kawasan pekan baru ada deretan kedai-kedai. Tips blogger lain, beli simkad Thai. tp kami asyik miss singgah mana2 kedai. jadi sampai balik pun tak beli.

Kami sampai ke hotel penginapan kami pada jam 8.34pm. Kami bermalam di Oscar Aonang Villa . Lokasi hotel ini agak terpencil dan bukan di kawasan Ao Nang yang ‘happening’. Berkenaan hotel ini, ianya bukanla muslim hotel kerana ada alkohol di peti sejuk. Kami menyuruh hotel mengambil semua alkohol tersebut dari bilik penginapan. Kami hanya meletak barang, kemudian bersiap untuk keluar makan malam sekitar pekan Ao Nang. Kami hanya singgah di gerai tepi jalan, memandangkan agak letih, selera makan sedikit kurang dan semacam kenyang lagi. Makanan pun tak habis, bungkus makan di bilik nanti. Selesai makan, kami cuba cari beberapa pakej aktiviti untuk esok. Cadangan asal, untuk ke 1 pulau, tapi bila ejen-ejen pakej tengok wife dah 7 bulan, hampir kesemua mereka tak syorkan untuk ke pulau, atas faktor keselamatan (berdasarkan pengelaman lepas, yes…menaiki bot laju memang melambung-lambung dan ada terhentak-hentak, kalau naik bot perlahan pun hampir sama, belum diambil kira faktor cuaca). So, kami just ambil beberapa info dan akan plan malam nanti semasa di hotel. (kena google lagi ciket). Nak balik tu singgah gerai kat muslim street berdekatan masjid aonang. Tapau pulut mangga yang super sedap.

       

 

Hari ke 2 – 21-5-2017 (Ahad)

Baik, pagi dimulakan dengan sarapan dan anak-anak serta wife dah berendam di dalam kolam yang betul-betul di hadapan bilik hotel kami. Sarapan dengan biskut dan 3 in 1 dr Malaysia. Memandangkan hari ini Ahad, jumlah pengunjung berkurang dan ramai yang bersiap untuk check-out atau ada yang sudah ambil pakej pelancongan, jadinya, kolam ini kami punya!!!! 😀

Puas bermandi-manda, jam 11.15am kami bersiap untuk keluar makan tengah hari di Hasna Place yang mendapat certificate Halal. Ada satu menu pedas sangat.  Hasna Place ni ada juga penginapan. Selepas berbincang malam tadi, kami tak jadi ke pulau, just penuhkan aktiviti jalan-jalan sekitar Ao Nang, bawa anak-anak naik gajah dan ke beberapa tempat yang belum pernah kami lawati sebelum ini. Memandangkan kami drive sendiri, so…jom jalan-jalan explore Ao Nang!  Tetapi cuaca hujan, semua aktiviti gajah dsbnya di tunda sehingga cuaca elok. Balik hotel tu, singgah tapau nasi goreng, air kiwi + strawberry blended dan kuih apa ntah yg jual tepi jalan. sedap juga sebab balik nnt mesti lapar. Mandi kolam se round lagi bila hujan reda sedikit.

Untuk malamnya, kami makan di Rohanee Thai – Malay seafood. Pekerja boleh berbahasa Melayu. Restaurant tu seolah-olah asyik memanggil2 saya. jadi singgah la. Makanan so-so aja. tp alhamdulillah kenyang. Then berjalan di sekitar muslim street berdekatan masjid aonang. Nama masjid aonang tu sama seperti nama sekolah anak Pasti Al Munawwarah 2. Di sini, Anak bujang nak souvenier untuk kawan2 kelas. Yes, of course tapau pulut mangga lagi.
Ok. Berehat.

 

Hari ke 3 – 22-5-2017 (Isnin)

Hari ni hari terakhir kami d Thai. Before check out, mandi kolam seround lagi. Cuaca masih hujan renyai-renyai.

Selesai checkout pada jam 10.30am, kami memandu ke destinasi Elephant Tracking, di kawasan Ao Nang juga. Terdapat beberapa tempat elephant tracking berdekatan, just google sahaja, anak2 sgt excited menunggang gajah, ibunya tak boleh tunggang atas faktor keselamatan bayi di dalam perut. Tunggangan gajah dr jam 12-12.30pm. dewasa 500bath, luqman aja 250bath,Faqihah percuma.

 

Pada jam 12.45pm, Kami masuk ke Giant Catfish Farm yg terletak berdekatan elephan tracking juga, Tempat ni sangat natural dikendalikan oleh pengusaha US yang berkahwin dengan orang tempatan, sangat sporting aunty ni, anak-anak dia pun cantik-cantik. Hanya ibu dan abah sahaja yang perlu bayar 50THB seorang dan anak-anak masuk percuma. Di sini, kami melihat ikan yang sangat besar. Di samping itu, terdapat beberapa kolam ikan dan kami berpeluang memberi ikan-ikan di kolam makan. Makanan di berikan percuma di pintu masuk. Terdapat juga haiwan lain seperti itik, kambing, buaya. Kami juga bagi itik dan kambing makan. Buaya tidak la. Sebelum ke sini, kami google, katanya ada babi hutan. mujur tak terserempak waktu itu.

 

Selesai pusing hutan, kami singgah minum kopi kat kedai kopi dan bakery muslim yang berdepan dengan masjid Ban Khlong Haeng. Rasa, so so aja kata wife aku (aku rasa sedap dh…heheheh). Then singgah solat zuhur-asar di masjid tersebut. Di sini, kami berjumpa dengan warga Malaysia yang berkahwin dengan warga Thailand dan tinggal di Koh Lanta. Die mencadangkan percutian pada waktu lain ke Koh Lanta. InsyaAllah boleh difikirkan.

Selesai solat, kami singgah makan tengah hari, kat Restoran Salameyah, pekan Ao Nang. Kedai ni berdepan dengan petrol station. Setelah berhari-hari di Ao Nang, baru puas dapat makan nasi campur. Sedap sgt. Ulam terung dia win. Niat di hati nak berurut bahu suami di kedai urut yang berlambak di Ao Nang. Tp memandangkan masa suntuk dan cash yang tinggal konon nak standby untuk petrol. Niat dibatalkan.

Ok. shoot trus ke border Padang Besar mengikut map. Border close jam 9 pm. Ikut waktu di map, sepatutnya sempat sampai. Nk di jadikan cerita, dalam perjalanan lebih kurang jam 7pm, map tertutup oleh suami ku.. hoho, nasib baik bukan aku atau anak2 yg tutup. Kiranya kami terkandas di kawasan Pathalon. Kebetulan berhenti betul-betul hadapan kedai makan muslim. Aku pun mintak tolong pinjam wifi. Nasib baik budak tu pandai berbahasa melayu. senang nk berinteraksi. Alang2 dh minta pinjam wifi tu, kami mkn nasi sbg dinner jap la. qha pun kata nk mkn.

Then bergegas ke border Padang Besar. Tak tau nk kata la speed brapa laju. Jalan raya di Thailand ni (yang kami lalui)  takda lubang-lubang, jadi agak mudah. Lepas border tepat-tepat jam 9pm. Al-kisahnya, kami ni lepas keluar dari Siam tak di periksa pasport sebab imegresen sana dah tutup. Tapi kaunter kastam masih buka. Jadi kami hanya pulangkan borang kenderaan pada kaunter. Kalau tak pulangkan borang tersebut, boleh di denda 100Bath sehari dan maksimum denda 20000Bath.


Ok, lepas pintu siam. Dan masuk Malaysia. Yeaaa. kembali ke negara sebenar. Di border Malaysia juga, Imegresen Malaysia dah tutup. Tapi kaunter kastam buka. Pegawai memeriksa kenderaan manalah tau ada seludup barang-barang larangan. Of course la tiada. Emm. Masalahnya sekarang, Pihak Siam tak cek passport dan ishtihar kami keluar Siam lg. Ada seorang pegawai Imegresen Malaysia dlm perjalalanan balik. Katanya, kami kene datang semula ke Thai esok utk urusan cop pasport keluar thai, masuk Malaysia secara proper. Dalam passport, ada tercatit tarikh 12-6-17. Tarikh tersebut bermaksud kami masih boleh ada d Thai sehingga tarikh tersebut.

Berehat sekejap di tepi jalan di kawasan Padang Besar. Jam menunjukkan jam 10pm. Petrol tak berapa banyak yang tinggal dan kawasan Padang Besar dah sunyi sepi. Berfikir sebentar nasib kami, kami decide untuk balik Melaka juga memandangkan Luqman ada peperiksaan dan suami perlu masuk kerja. Kami bercadang untuk ke Padang Besar semula atas urusan Keluar Masuk ini dengan perkhidmatan ETS (agak saje nk cari alasan berjalan la nih)  sebelum tarikh tamat berada di Thai. Andaikata kami tidak uruskannya, kami ni di kira masih berada di Siam. Huh.. parah nanti bila nak jalan ke Thailand lagi sebab perancangan akan ke sini semula (insyaAllah). Thailand mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi. Tak puas berjalan sekitar Thailand sebenarnya.

Kami berhenti di balai polis Padang Besar untuk bertanyakan di mana station minyak berdekatan. Pegawai polis ada memberitahu satu Caltex 24 jam berdekatan. Lupa di mana. Lega dapat isi minyak, ke tandas, beli makanan ringan sedikit buat alas perut. Kami teruskan perjalanan ke Melaka. Semestinya sepenjang perjalanan ada berhenti untuk suami lelapkan mata. Mau sejam juga tidur ni, jadi aku take over memandu sebab aku dah tido sebelum ni. Sampai RNR mana ntah, suami dah ok sikit. dia drive semula. Kalau aku drive, lambat lagila sampai.

Akhirnya kami sampai di Melaka jam 8am. Bergegas siapkn luqman ke sekolah. Mata sangat kuyu dan penat.Tetapi best dapat jalan-jalan. Alhamdulillah.

 

Rumusan Perbelanjaan :

20.5.2017 – Minyak : RM66.70
20.5.2017 – Minyak (RnR Tapah) : RM38.90
20.5.2017 – RnR Gurun, Makan : RM14.35
20.5.2017 – Topup TnG : RM49.47
20.5.2017 – Topup TnG : RM50.00
20.5.2017 – Tol AKH – JRU : RM62.90
20.5.2017 – Tol SGD – HKG : RM13.00
20.5.2017 – Tol JTR – UO1 : RM1.60
20.5.2017 – Insurance : RM28.00
20.5.2017 – Minyak (Pekan Changlun) : RM78.00
20.5.2017 – Minyak (Padang Besar) : RM14.50
20.5.2017 – Tukar Duit : RM700.00 (Terima 5,481THB)
20.5.2017 – KFC : RM16.10
20.5.2017 – ‘Suapan’ sempadan Thailand : RM18.00
20.5.2017 – Makan (Thailand) : 655THB
20.5.2017 – Hotel (Thailand) : 1980THB (Deposit 1000THB)

21.5.2017 – Makan (Thailand) : 360THB
21.5.2017 – Makan (Thailand) : 570THB

22.5.2017 – Minyak (Thailand) : 800THB
22.5.2017 – Naik Gajah (Thailand) : 750THB
22.5.2017 – Masuk Giant Cat Fish Farm (Thailand) : 100THB
22.5.2017 – Minyak (Thailand) 220THB
22.5.2017 – Minyak – RM89.10

23.5.2017 – Tol JTR – SO6 : RM1.60
23.5.2017 – Tol HKG – SGD : RM13.00
23.5.2017 – Tol JRU – AKH : RM62.90

 

Total : +-RM1,218.65
*Perbelanjaan guna THB tak dikira, ambil dari tukaran RM ke THB (RM700)

Total Pengalaman : Priceless